Fitnah Terbesar

Gambar Hiasan

Hadis :
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”

 
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Huraian:
1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.
2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.
3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.
4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah. 

Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim

Hadis :
Dari Abdullah, katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami:” Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau:” Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata:” Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.”

 
(Muslim)
Huraian :
Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam mememuk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad). Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang. Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir. 

Dosa Terbesar Disisi Allah S.W.T

Gambar Hiasan
Hadis :
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:”Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya.”


Riwayat Ibnu Majah

Huraian :   
i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira.
ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.
iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung. Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud :
”Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya.”
iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran melalui firman-Nya dalam ayat 1-2 surah al-Ma'un yang bermaksud : “Tahukah engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim !”

Menyegerakan Hutang Puasa

Gambar Hiasan
Hadis :
Aisyah r.a. berkata: “Dulu kami haidh di zaman Rasulullah S.A.W. Maka kami diperintahkan mengqadha puasa dan tidak diperintahkan mengqadha solat.”
 
(Bukhari dan Muslim)
 
Huraian :
 
1. Bagi kaum wanita yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa sunat 6 hari dalam Syawal akan memberi peluang terbaik untuk mereka mengqadha' puasa di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat.
2. Kebiasaan melambatkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ibadat wajib jika ditinggalkan sewajarnya segera diqadha’ sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah S.W.T kerana apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Oleh itu selagi kesempatan diberikan pergunakanlah ia dengan sebaik-baiknya kerana masa akan terus berlalu sedangkan Allah telah bersumpah dalam al-Quran yang maksudnya:”Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr :1-3)

99 Nama Allah

Hadis :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama iaitu seratus kurang satu. Siapa menghafalnya masuk syurga."

(Muslim)
 
 Huraian:
 
Perumpamaan orang yang ingat akan Allah dengan orang yang tidak ingat akan Allah laksana orang yang hidup dengan orang yang mati. Beberapa sifat orang yang beriman yang disebutkan Allah dalam al-Quran adalah sebagai berikut: “Sesungguhnya orang-orang beriman yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepadanya maka bertambahlah imannya,sedang mereka itu bertawakkal kepada tuhannya.” (al-Anfal.:2) “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah dan sebutlah nama Allah dengan ingatan dan sebutan yang sebanyak-banyaknya.”(al-Ahzaab:41). “...Lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak dan perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, maka Allah menyediakan untuk mereka pengampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzaab:35). Sebenarnya untuk melayakkan diri tergolong dalam golongan orang-orang beriman seperti disebutkan bukanlah setakat memerlukan kita mengingati 99 nama-nama Allah bahkan kita mestilah menghayati erti dan maksudnya sekali sehingga dengan itu hati kita sentiasa merasa gerun dan takut untuk berbuat dosa kepada Allah sekalipun dosa kecil.

Yang Dinamakan ‘Orang Islam’


Hadis :

I am PROUD TO BE MUSLIM
Daripada Anas r.a katanya : “ Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sesiapa mengerjakan solat kita dan menghadap kiblat kita serta memakan penyembelihan kita maka dia adalah orang Islam.”

(al-Bukhari dan an-Nasa’i)

Huraian :
Sebagai orang Islam, tanpa mengira kaum atau keturunan, tidak ada halangan bagi kita untuk saling mengamalkan cara hidup dan kebudayaan masing-masing asalkan tidak bercanggah dengan kehendak syariat. Kita masih menjadi saudara dengan orang Islam lain di mana juga mereka berada. Semua perbezaan sama ada berkenaan politik, ekonomi, sosial atau peribadi tidak menjadikan mana-mana pihak tidak Islam. Maka pada hari Raya contohnya kita boleh bersalaman dengan hati yang bersih daripada segala sangkaan yang buruk terhadap saudara seagama kita. Malah perpaduan dan kerjasama antara kita orang Islam di Malaysia, dan juga antara kita dengan orang Islam lain di seluruh dunia menjadi lebih penting di zaman globalisasi ini. Jika kita tidak berjaga-jaga, kita mungkin dijajah semula. Ingatlah bahawa tidak ada sesuatu yang disuruh oleh Islam yang tidak akan membawa kebaikan, nikmat dan keuntungan kepada umat Islam.

Sponsored $