Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat Kelak

Gambar Hiasan
Hadis :

Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”


(al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)

Huraian :

Allah SWT amat benci kepada orang yang melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu ialah Allah melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya dengan azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah SWT sangat murka kepada mereka yang melakukannya. Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredaan-Nya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka. Menurut jumhur ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat kepada mereka untuk memberi penghormatan kepada mereka. Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandangan-Nya dari mereka. Manakala maksud pandangan Allah kepada hamba-hamba-Nya ialah rahmat dan taufik serta perlindungan-Nya terhadap mereka.

Doakan Yang Baik-baik

Gambar Hiasan
Hadis :
Dikhabarkan dari Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat hujan, baginda berkata:”Semoga hujan yang bermanfaat.”
(al-Bukhari)
Huraian :
Setiap perkataan yang keluar daripada mulut anak Adam adalah datang daripada niat dalam hatinya. Orang yang suka mengeluarkan kata-kata yang baik mencerminkan keikhlasan hatinya dan kebaikan hati budinya. Manakala orang yang suka bercakap perkara-perkara yang buruk kebiasaannya berperangai tidak elok. Itulah persepsi biasa dalam masyarakat. Begitulah keadaannya bilamana kita inginkan sesuatu kebaikan janganlah kita berkata perkara-perkara yang berbentuk negatif kerana ia seumpama doa yang dipohon secara tidak langsung kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mendengar segala percakapan hamba-Nya. Justeru apa yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang buruk itu datangnya daripada kesilapan kita sendiri.

Galakan Berpuasa Sunat

Gambar Hiasan

Hadis :
Dari Aisyah r.a :” Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari:”Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?” Aisyah berkata:” Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)” Baginda bersabda “(Jika begitu) maka aku berpuasa”

 
(Muslim)
 
Huraian :
1. Latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Sebab itulah orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa.
2. Ibadat puasa bukan sahaja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spiritual melalui sifat ikhlas.
3. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah SWT. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dan ikhlas dalam diri sendiri dan kepada Allah.
4. Di samping puasa wajib kita juga dianjurkan berjinak-jinak dengan puasa sunat lebih-lebih lagi puasa di bulan Rejab dan Syaaban yang banyak sekali kelebihannya di samping dapat membantu meningkatkan kekuatan dan persediaan dalaman sebelum tibanya puasa wajib di bulan Ramadhan. 

Menahan Marah

Gambar Hiasan

Hadis :
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
 
Riwayat al-Bukhari 
 
Huraian :
1. Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat daripada orang yang alim untuk membentuk peribadinya.
2. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T semakin meningkat.
3. Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya.
4. Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak atau menunjukkan kemarahan, tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan dan sabar.
 

Solat Jenazah

Hadis :
Dari Abdullah bin Abbas, r.anhuma, katanya; aku ada mendengar Rasul s.a.w, bersabda “ mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya”.

 
Riwayat Muslim
Huraian :
1. Betapa besarnya faedah solah jenazah secara beramai-ramai
2. Ia juga selain menunjukkan bahawa keluarga atau penduduk sesebuah kampung itu begitu menyayangi pemergian kawan atau sahabat yang pergi dahulu sebelum mereka
3. dan juga sebagai penghormatan terakhir kepada si mati dengan doa agar Allah mengampuni dosanya dan ditempatkan bersama para salihin dan anbia`

Ikan Dan Belalang Bukan Bangkai

Gambar Hiasan
Hadis :
Ibnu Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dihalalkan untuk kamu dua bangkai dan dua darah; Dua bangkai itu ialah ikan dan belalang dan dua darah itu ialah hati dan limpa.”

 
Ibnu Majah, Ahmad
Huraian :
Terdapat dua jenis binatang yang dikecualikan oleh syariat Islam daripada kategori bangkai iaitu belalang, ikan dan sebagainya dari jenis binatang yang hidup di dalam air. Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja dan tidak beracun, memabukkan atau membahayakan kesihatan manusia. Binatang dua alam adalah tidak termasuk di dalamnya. Manakala belalang daun yang darahnya tidak mengalir juga halal dimakan. Begitu juga dengan darah. Sekalipun darah adalah haram tetapi ada pengecualiannya iaitu hati dan limpa. Demikian juga sisa-sisa darah yang menempel pada daging atau leher binatang setelah disembelih.
Kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan di dalam nas yang mengatakan ia haram, maka hukumnya adalah haram. Apa yang tidak dihukum sebagai haram, maka ia didiamkan syarak. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang jijik dan kotor. Jangan tepuk dada tanya selera semata-mata.

Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal

Gambar Hiasan
Hadith :
Dari Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."
 
Anas r.a
 
Huraian :
Pengajaran hadith:
i) Apabila menghadapi ‘sakratul maut’ setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut.
ii) Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

Perhimpunan Di Padang Mahsyar Sehingga Masing-masing Menerima Balasan


Gambar Hiasan
Hadis :
Nabi s.a.w bersabda: "Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di atas satu bumi yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum putih yang baharu dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya gunung-ganang atau bukit bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda atau kesan yang menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau dimiliki orang".

 
Sahl bin Sa'id As-Sa'idiy r.a

Huraian :
Nabi s.a.w bersabda: "Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di atas satu bumi yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum putih yang baharu dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya gunung-ganang atau bukit bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda atau kesan yang menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau dimiliki orang".

Sponsored $